KUALA LUMPUR: UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju parti sendiri dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun kuasa membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan negara apabila memahami bahawa kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah keputusan Kabinet apabila Perdana Menteri yang akan berurusan dengan memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya kata beliau, UMNO tidak mahu menganggu urusan tersebut.
“Kita tidak mahu mengganggu urusan itu. Tetapi, UMNO sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, kita ada kuasa untuk menentukan arah tuju parti kita sendiri.
“Jadi hendak tunggu apa lagi, bubarkan Parlimen,” katanya dalam ucapan dasar Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.