KUALA LUMPUR: Datuk Onn Hafiz Ghazi menerima tempukan gemuruh oleh perwakilan Pemuda UMNO sebagai tanda sokongan di atas pelantikannya sebagai Menteri Besar baharu Johor.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan itu amat bermakna bagi Pemuda UMNO kerana ADUN Machap berkenaan merupakan pemimpin yang lahir daripada kilang pemuda.
Selain itu katanya, Pemuda UMNO merakamkan penghargaan tertinggi buat Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad kerana membuka jalan dan mencadangkan buat pemimpin muda dari kilang Pemuda UMNO untuk memimpin kerajaan negeri sekali gus menjadi contoh sikap negarawan sejati.
“Pemuda juga merakamkan penghargaan tertinggi buat Datuk Seri Hasni atas sumbangan menerajui Kerajaan Negeri Johor selama dua tahun dan menjadi arkitek penting kemenangan manis majoriti dua pertiga Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2021 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. – UTUSAN