KUALA LUMPUR: Mengeluarkan peranan pendakwa raya daripada fungsi Jabatan Peguam Negara merupakan antara tiga agenda transformasi institusi dan penjernihan budaya politik negara yang dibangkitkan Pemuda UMNO dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2021.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu bersandarkan kepada prinsip keadilan dan mengelakkan daripada konflik kepentingan terutama menyentuh pendakwaan politik terpilih.
Beliau menjelaskan Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri tidak wajar menasihati kerajaan dan pada masa sama menggunakan kuasa bagi melakukan pendakwaan.
“Sekutu politik dilepaskan, sedangkan seteru politik ditekan. Pemuda berpendirian tegas dan keras, fenomena pengkhianatan dan pencabulan mandat rakyat tidak boleh lagi dikompromikan.
“Justeru, kestabilan mandat hanya boleh dijamin melalui komitmen parti untuk melakukan pembaharuan dan transformasi politik menyeluruh untuk negara,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2021 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Selain itu Asyraf Wajdi berkata, Pemuda mendesak agar Akta Anti Lompat Parti dibahas dan diluluskan segera apabila undang-undang itu adalah satu keperluan bagi memastikan rakyat kembali percaya kepada sistem demokrasi negara.
“Rakyat mesti diberikan keyakinan semula bahawa undi mereka bukanlah sia-sia. Negara ini mesti ditentukan nasibnya oleh rakyat dan bukannya oleh 222 elit politik dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, agenda ketiga adalah menggesa kerajaan segera membentangkan Akta Pendanaan Politik apabila melalui undang-undang berkenaan, segala sumber kewangan parti wajar dilaporkan secara telus agar rakyat dapat memastikan tiadanya sebarang unsur rasuah mahupun salah guna kuasa.
“Justeru, tiga agenda transformasi yang diangkat oleh Pemuda adalah atas kesedaran untuk kita kembali menjernihkan budaya politik, memelihara sistem demokrasi dan mempertahankan mandat rakyat.
“Selain itu juga penjernihan budaya politik mesti segera dimulakan dengan menanam rasa benci dan jelik kepada sebarang bentuk korupsi, rasuah dan hipokrasi yang mencairkan integriti dan
meruntuhkan nilai-nilai akhlak manusiawi.
“Sebuah kerajaan yang dibentuk tanpa integriti dan berkiblatkan kerakusan kuasa hanya akan mewujudkan huru-hara dan kesengsaraan kepada rakyat jelata,” katanya. – UTUSAN