KUALA LUMPUR: “Jangan dilayan, permintaan pemimpin DAP yang nak sambung lagi memorandum persefahaman (MoU)”.
Demikian lontaran pendapat daripada Ketua Pergerakaan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yang mendakwa cadangan DAP itu hanyalah untuk melengahkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“DAP yang nak sambung lagi MOU supaya tidak ada PRU dalam masa terdekat. Jangan juga dilayan rayuan pemimpin parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) supaya PRU diadakan sehingga penghujung penggal.
“Mereka rayu kerana mereka berada dalam ketakutan dan gementar dalam kekecutan.
“Selama ini merekalah yang hendak membunuh kita. Kenapa pula kita hendak memberi nyawa kepada mereka untuk bunuh kita kembali?” Soalnya di dalam ucapan dasar di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Tambah Zahida, fasa pandemik sudah beralih ke fasa endemik jadi tiada lagi sebab untuk memberi ruang kepada pemimpin pembangkang untuk berdalih daripada mengadakan pilihan raya umum.
“Oleh itu, jangan layan permintaan dan rayuan pemimpin parti yang mahukan kehancuran parti kita. Dulu mereka hina kita. Mereka menggelarkan pelbagai gelaran kepada rakan-rakan dan pemimpin parti kita.
“Ada kata kita parti yang sudah lumpuh, ada kata kita itik patah kaki dan PRN Johor sebagai garis penamat buat Barisan Nasional (BN). Sekarang kita tahu siapa yang lumpuh,” katanya. – UTUSAN