KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan menang dengan bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) jika menteri daripada parti itu tidak menunjukkan prestasi yang baik terhadap rakyat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau serta menteri UMNO lain telah melaksanakan tugas sehabis baik dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Kalau menteri kita tak ‘perform’, saya rasa parti tak akan mencapai keputusan yang membanggakan pada PRN kerana prestasi kita pada PRN juga bersandarkan kejayaan dan prestasi kita dalam kerajaan,” katanya selepas ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian perhimpunan sayap UMNO berkata, prestasi wakil UMNO dalam kerajaan ketika ini tidak meyakinkan.
Katanya, meskipun wakil parti dalam kerajaan telah cuba melakukan sehabis baik, namun hasilnya tidak menyerlah. – UTUSAN