KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan masih banyak perkara boleh diperbaiki Barisan Nasional (BN) sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, perkara itu perlu dipandang serius meskipun BN sedang berada dalam momentum terbaik susulan kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Sebaliknya, beliau menganggap semangat penyatuan yang ditiupkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi azimat buat parti komponen BN untuk bekerja lebih keras dan memperkasakan peranan masing-masing.
“Kemenangan pada PRN Melaka dan Johor telah memberi motivasi serta semangat kepada parti dan kami melihatnya sebagai satu bentuk dorongan yang diberikan oleh rakyat kepada BN.
“Banyak lagi sebenarnya perkara yang kami boleh perbaiki untuk berhadapan dengan PRU-15.
“Ini satu cabaran besar dan saya yakin semua parti perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan yang lebih besar berbanding pencapaian pada PRU-14 sebelum ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau yang turut mendengar ucapan dasar Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini menyifatkan ucapan berkenaan yang sarat dengan pesanan dan hala tuju itu perlu dihayati semua parti dalam komponen BN. – UTUSAN