KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk meneliti setiap ucapan dasar daripada ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.
Menerusi satu sidang akhbar, Ahmad Zahid berkata, ketiga-ketiga sayap jelas menggesa untuk mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Ucapan dasar sayap-sayap UMNO menunjukkan semangat mereka cukup tinggi dan saya pasti jurucakap negeri-negeri akan juga ekori apa yang telah dilontarkan ketua masing-masing. Pada kali ini, Perhimpunan Agung UMNO secara rasminya akan dimulakan esok namun untuk sayap-sayap telah dimulakan hari ini dan ini adalah daripada setiap sayap UMNO.
“Ini turut melibatkan UMNO bahagian-bahagian yang didukung oleh UMNO negeri memperlihatkan kesiapsiagaan bagi terus menggerakkan jentera terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Sebabnya jelas apabila ketiga-tiga sayap mendesak supaya mandat baharu rakyat hendaklah diberi dalam jeda waktu ini atas nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk dapatkan perkenan Seri Paduka,” katanya di Laman Media Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Menurut Ahmad Zahid, beliau akan mengambil kira semua pandangan untuk memastikan setiap keputusan dibuat atas pertimbangan yang menyeluruh.
“Sudah tentu suara akar umbi akan didengar dan kita harapkan ini akan dilaksanakan pada masa yang sesuai dengan mengambil kira beberapa aspek yang dilihat secara mendalam.
“Namun sebagai ketua parti, ia adalah perebutan waktu perancangan politik dan masih perlu memastikan setiap keputusan yang perlu dihormati,” katanya.
Ketiga-tiga sayap UMNO condong untuk menggesa pimpinan parti itu ‘mengisytiharkan’ pembubaran Parlimen memandangkan Barisan Nasional (BN) baru-baru ini telah menang bergaya dalam dua pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hassan juga mencadangkan supaya PRU-15 diadakan segera memandangkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi diterima rakyat. – UTUSAN