LIPIS: Pengurus restoran masakan tradisional Pahang iaitu House of Patin, Kuala Lumpur, Ahmad Daniar Ismail, 46, berasa teruja apabila didatangi rakannya untuk menjual ikan patin seberat 12 kilogram di Kuala Medang di sini.
Ahmad Daniar berkata, bak kata orang-orang tua, ‘bagai pucuk dicita, ulam pun mendatang’ dia terus memborong ikan patin buah itu dengan harga RM1,800 yang kebiasaan dijual oleh rakannya serta nelayan Sungai Jelai di kampung tersebut iaitu RM150 sekilogram.
“Saya memang berhasrat pulang ke kampung di Kuala Medang untuk membeli ikan patin dan ikan liar Sungai Jelai daripada nelayan sungai di sini kerana stok ikan yang bermutu tinggi di restoran ini sudah habis dimasak (dijual) kepada pelanggan di Kuala Lumpur.
“Kebetulan restoran House of Patin yang terletak di No. 5, Jalan Liew Weng Chee off Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur dikunjungi ramai rakan UMNO dari seluruh negara yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra sehingga semua ikan liar Sungai Jelai termasuk patin dan kelah habis ditempah oleh mereka (pelanggan) awal-awal lagi.
“Saya bergegas balik ke Kuala Medang untuk mendapatkan bekalan ikan liar Sungai Jelai daripada nelayan sungai kampung ini yang sudah pun menyimpan hasil tangkapan masing-masing untuk saya borong,” katanya di Kuala Medang dekat sini hari ini.
Ahmad Daniar berkata, dia bertuah kerana kebetulan rakannya memperoleh ikan tersebut seberat 12 kilogram yang ditangkap dengan menggunakan jaring di Sungai Jelai pada pagi semalam dan terus menghantar ke rumahnya.
“Tanpa berlengah, saya pun berbelanja ikan patin buah ini dengan harga RM1,800 termasuk ikan liar lain seperti kelah, baung, lawang dan kerai melibatkan perbelanjaan hampir RM6,000,” katanya.
Beliau berkata, ikan itu seberat 12 kilogram itu boleh dimasak tempoyak untuk hidangan seramai 50 orang.
Bercerita seterusnya, menurut Ahmad Daniar berkata, kebanyakan pelanggannya memang gemar dengan masakan ikan patin tempoyak dan menu itu terus dipesan apabila memasuki restoran ataupun menghubunginya sebelum tiba.
“Boleh dikatakan masakan ikan patin dicampur asam tempoyak menjadi kegemaran masyarakat ibu kota malah orang Pahang yang sudah lama menetap di Kuala Lumpur juga sekali sekala teringin untuk menjamah masakan ini.
“Ini kerana ikan patin Sungai Jelai (Lipis) dan Sungai Tembeling (Jerantut) antara yang bermutu tinggi dan rasa isinya sedap apabila dimasak campuran asam tempoyak dan asam rong,” katanya.
Beliau berkata, spesies liar Sungai Jelai itu juga boleh dimasak patin berlada dan digoreng garing supaya sedap dimakan.
Sambil tidak menyatakan harga semangkok juadah patin asam tempoyak, Ahmad Daniar mempelawa pelanggan datang ke restoran House of Patin menikmati masakan tradisional Pahang termasuk pelbagai jenis juadah lain berasaskan ikan sungai.
“Insya-Allah, saya menjual makanan ini dengan harga berpatutan sesuai hidangan bagi semua golongan kerana pada masa yang sama saya ingin mempromosi pelbagai juadah tradisional Pahang berasaskan ikan sungai,” ujarnya. – UTUSAN