Pasangan kekasih didakwa edar 260 kg syabu

Pasangan kekasih didakwa edar 260 kg syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 260.58 kilogram (kg), Februari lalu.

Tertuduh, Adam Tan Seng Tek yang merupakan seorang nelayan dan teman wanitanya yang merupakan warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Thanh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 260,580 gram itu kira-kira pukul 9.30 malam, 24 Februari lalu di sebuah unit kondominium di Residensi Kiara Jalil di sini.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 30 tahun diwakili peguam-peguam bela, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke.

Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Phulani Kaur mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan sebutan kes itu pada 11 Mei ini.

Menurut laporan media sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan pihak polis telah membuat serbuan di sebuah kondominium yang dijadikan tempat penyimpanan dadah.

Dalam serbuan itu, pihak polis telah menahan dua suspek terdiri seorang lelaki tempatan dan wanita Vietnam dengan rampasan dadah jenis syabu seberat kira-kira 260.58kg bernilai RM9.3 juta.

Jelas Ayob Khan, dadah tersebut dibawa masuk dari utara tanah air dan akan akan diseludup ke Sabah dan Sarawak. Pasangan kekasih itu dikatakan menjalankan aktiviti mengedar dadah itu sejak penghujung tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya