ALOR SETAR: Keputusan Pas untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah lebih awal sebelum tamat penggal, bukan disebabkan takut kalah.
Sebaliknya, tegas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, tindakan itu sangat relevan bagi membolehkan semua pihak bertanggungjawab, melaksanakan tugas masing-masing demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, beliau yakin langkah tersebut akan turut diikuti oleh negeri-negeri lain.
“Kenapa nak takut kalah? Kita kan berlawan, dan Pas pun bukannya tak biasa kalah. Lama dah kita kalah, jadi buat apa nak takut? Yang penting kita lawan dulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam mengenai keputusan parti itu yang tidak akan membubarkan DUN di tiga negeri dikuasainya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu hingga habis penggal, tahun depan.
Ditanya tidakkah keputusan itu akan mendatangkan kerugian dari segi kewangan kerana menyebabkan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan secara berasingan, Muhammad Sanusi berkata, itulah sebabnya mengapa semua pihak perlu memastikan PRU tidak diadakan lebih awal.
“Saya cadangkan PRU pun kita buatlah selepas habis penggal. Tak salah pun buat begitu. Yang timbul masalah sekarang ini sebab ada pihak nak buat PRU awal. Kenapa nak kalut-kalut. Tentulah kerana ada udang di sebalik mi,” katanya. – UTUSAN