KUALA TERENGGANU: Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya sehingga habis penggal, tahun depan.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pendirian itu muktamad bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.
“Pas mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.
“Justeru, Pas berpendirian DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, enam negeri dijangka tidak akan membubarkan DUN masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera.
Aminuddin berkata, perkara itu ada dibincangkannya bersama lima negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.
Tanpa menyebutkan lima buah negeri lain itu, beliau berkata, kesemua negeri terlibat telah menyatakan hanya akan membubarkan DUN selepas penggal tamat. – UTUSAN