Pas Perak tetap mahu penyatuan ummah - Utusan Malaysia

Pas Perak tetap mahu penyatuan ummah

RAZMAN Zakaria (tengah) bersama penerima sumbangan kelengkapan persekolahan di Gunung Semanggol, Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pas Perak tetap mahu penyatuan umat Islam di bawah satu gabungan parti politik tetap tanpa DAP.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, namun perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Pas untuk menentukannya.

Tanpa menyebut penyatuan yang dimaksudkan itu ialah Muafakat Nasional (MN) bersama Barisan Nasional (BN), Razman menegaskan, Pas tetap dengan prinsipnya untuk menyatupadukan ummah dan mengelak perpecahan sesama Islam.

“Pas telah mengeluarkan satu idea yang jauh ke depan untuk membentuk kerajaan perpaduan. Sebab itu Pas sentiasa mahukan penyatuan ummah dan tidak mahu berlakunya pecah belah. Pas mengharapkan satu penyatuan dari semua parti kecuali DAP kerana parti itu bersifat ekstrem.

“Bagaimanapun terpulanglah kepada pucuk pimpinan PN dan Pas Pusat tentang penyatuan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada 180 murid dan pelajar asnaf kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol di Dewan Penghulu Gunung Semanggol di sini hari ini.

Mengenai logo Pas tidak digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, Razman berkata, perkara itu tidak bermakna Pas mengorbankan logonya demi mendapatkan undi.

“Perlu difahami Pas bertanding menggunakan logo PN kerana kita bergabung dalam PN bersama Bersatu dan Gerakan. Apabila kita bergabung, ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk menggunakan logo PN dalam PRN Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Parti komponen dalam BN dan Pakatan Harapan (PH) juga tidak menggunakan logo parti masing-masing kerana mereka bergabung,” katanya.

Mengenai tindakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang mengumumkan keluar dari Pas semalam, Razman berkata, tindakan itu adalah keputusan yang dibuat sendiri oleh Ahli Parlimen Pas itu.

“Kita tidak boleh nak larang, itu atas pertimbangan dirinya sendiri. Dalam Pas, kita perjuangkan prinsip dan matlamat parti bukan memperjuangkan individu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya