KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk, sepasang suami isteri dan dua lagi individu mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini atas 81 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berhubung Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Di hadapan Hakim Suzana Hussin, ahli perniagaan, Datuk Ab. Aziz Abdullah, 44, didakwa atas 41 pertuduhan pengubahan wang haram antaranya memiliki wang tunai dalam akaun lima anak lelakinya serta memiliki kenderaan mewah seperti GMC Yukon XL, Range Rover Sport, Mercedes Benz GLA dan Toyota Vellfire; kesemuanya dikatakan hasil aktiviti haram.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 13 Februari 2015 hingga 6 April 2021 di beberapa lokasi antaranya di Jalan Tun Razak, Taman Melawati, Taman Ukay Perdana, Setapak.
Di mahkamah sama, kakaknya, Anita, 47, didakwa atas 15 pertuduhan iaitu memiliki wang dan menggunakan beberapa cek untuk membeli beberapa unit rumah kondominium serta beberapa unit lot kedai sekitar Taman Melati dan Taman Melawati di sini yang merupakan hasil aktiviti haram.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 1 Mei 2015 hingga 6 April 2021 di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
Seorang lagi tertuduh, Abu Yazid Mohd, 38, didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki wang simpanan dan memperoleh dua buah kereta mewah jenis Range Rover dan Mercedes Benz menggunakan hasil aktiviti haram.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di di antara 5 Mac 2019 hingga 1 Julai 2021 di Sentul dan dua premis di Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak, di sini.
Sementara itu, di hadapan Hakim Azura Alwi, suami kepada Anita, Muhammad Semail, 43, didakwa dengan 11 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah lebih RM1.72 juta yang turut melibatkan matawang asing dipercayai hasil daripada aktiviti haram.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 19 Mac 2018 dan 6 April 2021 di Jalan Melati Utama, Setapak, Wangsa Maju, Jalan Tun Razak dan Sungai Penchala, dekat sini.
Muhammad dan Abu Yazid sebagai pengarah Panorama Indeks Sdn. Bhd. Juga didakwa memiliki wang tunai RM28,985 dalam akaun syarikat tersebut yang merupakan hasil aktiviti haram pada 6 April 2021 di CIMB Bank, Taman Melawati, di sini.
Di mahkamah sama, seorang lagi individu, Mohd. Hariza Mohd. Yusof, 34, didakwa atas sembilan pertuduhan memiliki wang berjumlah RM1.37 juta di dalam beberapa akaun bank dan menggunakan sekeping ‘Banker Cheque’ CIMB Bank Berhad bernilai RM115,500 dan sekeping cek Public Bank Berhad sejumlah RM79,997.33 untuk sebahagian bayaran pembelian sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Mohd. Hariza dan Ab. Aziz turut bersama-sama didakwa memiliki wang tunai sebanyak RM559,779.15 di dalam akaun semasa CIMB Bank Berhad milik syarikat Sepakat Hidayah yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 6 April 2021 di CIMB Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Md. Yunos Sharif.
Ab.Aziz dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM400,000 manakala Anita, Muhammad dan Mohd. Hariza masing-masing RM250,000 sementara Abu Yazid dibenarkan jamin RM150,000.
Kesemua tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.
Kesemua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 April ini. – UTUSAN