Pas  konsisten perkasa MN, pertahan PN

Pas  konsisten perkasa MN, pertahan PN

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang bersama para pendaki yang akan menawan Gunung Everest pada misi Malaysia Everest 2022 di Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor dijangka mempercepat usaha UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menamatkan riwayat Muafakat Nasional (MN) yang didukung parti itu bersama Pas sebelum ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebelum ini beberapa pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sering kali bercakap mengenai perkara itu.

Sebaliknya, kata beliau, kepemimpinan Pas sentiasa konsisten dengan keputusan untuk memperkasa MN dan mempertahan Perikatan Nasional (PN) seperti diputuskan Majlis Syura Ulama serta Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat sebelum ini.

“Saya nampak keputusan PRN di Melaka dan Johor ini akan mempercepat UMNO dan BN untuk memahat dan memacak nisan MN. Pas sebaliknya tak mahu perkara itu berlaku kerana keputusan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas Pusat adalah memperkasa MN dan mempertahan PN.

“Segalanya terpulang pada UMNO kerana mereka yang kerap bercakap tentang perkara itu sedangkan Pas tidak pernah kata mahu putus atau kuburkan MN. Kita hanya menanti dan kalau UMNO nak pacak nisan, kita hafal talkin sajalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan peserta pasukan Malaysia Everest 2022 di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pasukan tersebut yang disertai seramai 10 individu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk orang kurang upaya (OKU), dijangka bakal memulakan misi menawan puncak Everest pada hujung bulan ini.

Ditanya mengenai kesediaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepaskan jawatan tertinggi gabungan tersebut susulan kekalahan di Johor, Muhammad Sanusi berkata, terserah kepada Muhyiddin untuk membuat keputusan tersebut.

“Saya belum dapat buat komen mengenai hal itu, namun segalanya terserah kepada Muhyiddin sendiri. Bagaimanapun saya yakin keputusan mengenai perkara itu akan dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi PN. Segalanya bergantung kepada keputusan yang dicapai nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya