(PARLIMEN) Ratifikasi CPTPP: 14 akta perlu dipinda

(PARLIMEN) Ratifikasi CPTPP: 14 akta perlu dipinda

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 akta perlu dipinda dalam usaha kerajaan meratifikasi dan menguatkuasakan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Perdagangan Antarabangasa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pindaa akta itu perlu dilakukan supaya undang-undang negara sentiasa dikemas kini dan selaras dengan dengan perjanjian serta piawaian antarabangsa.

Sehingga kini, kata beliau, sembilan akta di bawah kuasa Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibentang dan diluluskan dalam Parlimen.

“Akta-akta tersebut adalah seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta SPRM 2009, Akta Kanak-Kanak, Orang Muda, Pekerjaan 1966 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.

“Selain itu, akta yang telah dipinda ialah Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Cap Dagangan 1976, Akta Paten 1983, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Hak Cipta 1987,” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanya jumlah akta perlu dipinda dalam meratifikasi CPTPP.

Menurut Mohamed Azmin, lima akta lain masih dalam proses pindaan dan dijangka dibentangkan mengikut jadual kementerian bertanggungjawab.

Katanya, akta tersebut ialah Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh Sabah Bab 67, Ordinan Buruh Sarawak Bab 76 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1968.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) berhubung CPTPP, beliau memaklumkan, Analisis kos-manfaat (CBA) berhubung perjanjian CPTPP akan dibentangkan dalam masa terdekat kepada jemaah menteri bagi mendapatkan maklum balas.

“Kemudian, ia akan dimuat naik untuk maklumat awam khususnya bagi mereka yang berkepentingan. Saya percaya maklumat itu tersedia dalam laman sesawang MITI.

“Dokumen CBA mengambil kira kesan pandemik Covid-19 termasuk keupayaan dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara tanpa melanggar mana-mana peruntukan serta komitmen di bawah CPTPP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN