KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berpandangan, peratusan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini berpunca daripada sikap malas pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, peratusan berkenaan didorong oleh pengundi berdaftar secara automatik sebelum ini yang tidak pernah mahu mengundi namun, nama mereka terpapar sebagai pemilih dan tidak keluar mengundi.
“Mungkin juga orang malas (mengundi) dan pengundi berdaftar automatik sebelum ini mereka tidak pernah ingin mengundi dan tiba-tiba apabila dimasukkan sebagai pengundi, hari ini nama mereka dan ada tapi ada antara mereka mungkin tidak keluar mengundi.
“Kerana sebelum ini mereka tiada hasrat pun mahu mendaftar sebagai pengundi. Itu salah satu daripada punca kenapa jumlah mereka yang tidak keluar mengundi itu tinggi,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai jumlah peratusan undi pada pilihan raya negeri Johor yang rendah sebanyak 54.5 peratus walhal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus undi.
“Kiranya dipaksakanlah (untuk mengundi)?” Soal Syed Ibrahim lagi.
Bagaimanapun, Mas Ermieyati tidak menjawab asakan soalan daripada Syed Ibrahim. – UTUSAN