KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan pemantauan sebagai usaha memulihkan projek-projek perumahan yang terbengkalai.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, kerajaan antaranya mengadakan mesyuarat bersama pihak berkepentingan seperti pemaju asal, Jabatan Insolvensi Malaysia, pelikuidasi, pengurus dan penerima (R&M), pemaju penyelamat, tuan tanah, pembeli, bank-bank pembiaya, pihak berkuasa negeri (PBN) dan agensi-agensi teknikal untuk mendapatkan hala tuju pemulihan projek.
Beliau berkata, kementerian juga melaksanakan pemulihan projek-projek perumahan swasta terbengkalai terutama kategori kos rendah dan sederhana rendah yang memenuhi kriteria ditetapkan oleh Kementerian Kewangan bagi menampung kos pemulihan projek berkenaan.
“Kerajaan melaksanakan due diligence (usaha wajar) dengan mendapatkan maklumat kewangan, teknikal dan pembeli projek perumahan serta mengadakan lawatan dan pemeriksaan di tapak.
“Selain itu, kementerian mengenal pasti pemaju-pemaju berkeupayaan dan berpengalaman (white knight) untuk mengambil alih pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai dengan mengadakan mesyuarat feasibility (kebolehlaksanaan) di jabatan.
“Kerajaan juga menubuhkan pasukan khas (war room) bagi menyelaras dan mencari penyelesaian bagi projek sakit dan terbengkalai,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan kementerian ke atas isu rumah terbengkalai yang semakin meningkat serta langkah mengatasi masalah tersebut. – UTUSAN