KUALA LUMPUR: Isu jumlah kekosongan guru yang belum diisi di Sabah dan status terkini pengambilan khas guru secara sekali (one-off) antara perkara yang akan dibangkitkan menerusi sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Perkara itu dijangka disuarakan oleh Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) kepada Menteri Pendidikan yang antara lain meminta kerajaan menjelaskan jumlah guru akan ditempatkan di Sabah, jumlah rakyat Sabah akan mengisi kekosongan itu dan tempoh ia akan dilaksanakan.
Turut menjadi tumpuan ialah soalan yang akan diajukan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) meminta Menteri Pendidikan menjelaskan tindakan untuk menangani masalah pelajar sekolah yang terpaksa menggalas beban beg sekolah dengan kapasiti berat terutama bagi murid sekolah rendah.
Selain itu, Dr. Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan jika kerajaan telah menyediakan pelan pendidikan menyeluruh jangka panjang pasca wabak Covid-19 bagi menangani masalah ‘generasi yang hilang’ dan ‘keciciran pembelajaran’ merangkumi pendidikan dasar, pendidikan tinggi, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan pra sekolah.
Beliau juga meminta jika kerajaan melibatkan kementerian-kementerian pelbagai dan semua pihak merentasi politik, kepartian dan kepakaran untuk merangka pelan pendidikan menyeluruh jangka panjang.
Selain itu, Hannah Yeoh Tseow Suan (PH-Segambut) pula meminta Menteri Pengangkutan status terkini pembangunan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), cadangan jajaran dan anggaran garis masa lengkap diperlukan untuk setiap proses sehingga ia beroperasi.
Sementara itu, Gobind Singh Deo (PH-Puchong) akan bertanya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai status Akta Majlis Media Malaysia yang telah dirangka pada tahun 2020.