KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu sebagai rujukan apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.
Pendekatan itu dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam sebarang urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa.
Ismail Sabri berkata, sebagai langkah awal dalam usaha itu, beliau sendiri menggunakan bahasa kebangsaan semasa lawatan rasmi ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam baru-baru ini.
“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diploma Kebudayaan merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.
“Usaha ini akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan atau mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian,” katanya semasa sesi pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab. Hamid yang bertanya kepada Perdana Menteri mengenai usaha kerajaan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam urusan diplomatik luar negara.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (DBP) sekali gus menjadikannya sebagai bahasa ilmu.
Penguatkuasaan
Hal itu kerana, beliau mendapati akta tersebut tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.
“Pindaan ini akan membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada daerah, negeri atau Persekutuan.
“Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju supaya pelajar asing diwajibkan mempelajari bahasa Melayu apabila mendaftar di universiti di negara ini, secara tidak langsung, mereka akan ‘membawa balik’ bahasa Melayu apabila pulang ke negara masing-masing setelah tamat pengajian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bahasa kebangsaan itu mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri, dan selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, selatan Thailand, selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
“Pada masa ini, hanya empat daripada 10 negara ASEAN menggunakan bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa, manakala enam negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi dan perlu diterjemahkan.
“Saya yakin, suatu hari nanti, bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN dan perkara ini mungkin boleh dibincangkan dengan pemimpin ASEAN pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN