KUALA LUMPUR: Isu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dilaporkan sebelum ini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu antara yang menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.
Menerusi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) akan meminta Perdana Menteri menjelaskan jika benar Jakim akan diletakkan di bawah Majlis berkenaan yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tumpuan juga turut terletak kepada isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International menyaksikan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah bayaran yang dijelaskan oleh Kerajaan Malaysia untuk membayar semula hutang berkaitan syarikat itu.
Sementara itu, bagi sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) akan meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah segera kerajaan dalam menangani pengangguran dalam kalangan belia yang kini berada pada tahap 13.7 peratus.
Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tentang kematian dalam tahanan imigresen dalam tempoh lima tahun lalu dan langkah pencegahannya.