KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyerahkan jawapan bertulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengenai kenyataannya berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa mengelirukan dewan sebelum ini.
Pejabat Speaker Dewan Rakyat mengesahkan perkara itu dan memaklumkan jawapan bertulis oleh Najib sudah dihantar sebelum pukul 10 pagi tadi.
“Ya, Datuk Seri Najib sudah menghantar (jawapan bertulis) sebelum pukul 10 pagi tadi,” kata Pejabat Speaker Dewan Rakyat malam ini.
Pada 3 Mac lalu, blok pembangkang mengemukakan usul supaya Ahli Parlimen Pekan itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan Rakyat.
Tony Pua (PH-Damansara) ketika membangkitkan perkara itu berkata, kenyataan dibuat Najib ketika membahaskan usul Titah DiRaja disifatkan sebagai menghina majlis.
Ia berikutan kenyataan dibuat Najib sehari sebelum itu mendakwa tidak ada satu sen pun wang rakyat digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.
Jelasnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion diterima daripada syarikat Goldman Sachs bukan wang rakyat sebaliknya adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
Bagaimanapun, Azhar Azizan sebelum ini berkata, Najib tidak mengingkari arahannya meskipun tidak menjelaskan isu 1MDB seperti diarahkan sebelum ini.
Menurutnya, tidak timbul persoalan sama ada Najib mengingkari arahan Speaker atau tidak kerana beliau sendiri sudah memberi lanjutan masa kepada Najib.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 11 Mac lalu pula mengesahkan beliau telah menghantar surat kepada Azhar bagi menjelaskan isu berhubung 1MDB.
Beliau memberitahu, surat tersebut sepatutnya dihantar pada 9 Mac lalu, namun beliau telah menghantarnnya sebelum tarikh tersebut. – UTUSAN