KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar disifatkan mengelirukan Dewan Rakyat apabila usul Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti masih belum dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat.
Hal itu ketika mesyuarat pertama Dewan Rakyat akan berakhir pada esok, walhal kerajaan sebelum ini memberi jaminan bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan pada bulan ini.
Bercakap di Dewan Rakyat, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) membangkitkan jawapan yang pernah diberikan sebelum ini, termasuk Perdana Menteri bahawa rang undang-undang tersebut akan dibentang bulan ini.
“Hingga kini, ia belum dibentang sedangkan esok adalah hari terakhir kepada sidang ini. Jadi, saya menganggap jawapan rasmi yang diberi dalam dewan ini khususnya menteri undang-undang adalah mengelirukan dewan, sedangkan kami semua, bahkan seluruh rakyat menanti bahawa pentingnya rang undang-undang ini dibentang.
“Bukannya pindaan Perlembagaan yang mengecualikan raja-raja daripada, hak sebagai seorang pemilih (pada pilihan raya), tetapi yang penting ialah orang politik tidak boleh menjadi pelacur politik. Kita mahu supaya orang politik mesti dihalang daripada menjadi pelacur politik,” katanya selepas sesi jawab lisan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika bangun dan menggunakan peraturan Mesyuarat 36(12), memperuntukkan Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan adalah menghina majlis boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengingatkan kerajaan bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) akan terbatal jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibawa ke Parlimen.
Bacaan kali pertama RUU Anti Lompat Parti dijadualkan Isnin lalu manakala bacaan kali kedua pula sepatutnya hari ini.
Pada 18 Mac lalu, Wan Junaidi berkata, Kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan khususnya BN dan PN bagi memastikan ia mendapat sokongan mereka di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun meminta supaya Mahfuz mengemukakan usul kepadanya secara bertulis.
“Tolong buat usul dan beri pada saya, barulah saya boleh teliti. Kena ada notis pemberitahu,” katanya. – UTUSAN