KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menyediakan lokar di sekolah rendah bagi fasa pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM37.3 juta bagi mengatasi masalah beg berat.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, peruntukan itu melibatkan sekolah rendah bagi tahap satu iaitu Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Tiga.
“Sepertimana dimaklumkan sebelum ini, Kementerian Pendidikan akan menyediakan lokar secara berfasa. Jadi, fasa satu melibatkan lokar tahap satu di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
“Pelaksanaan ini melibatkan seramai 323,185 murid dan melibatkan 10,662 kelas dengan jumlah anggaran peruntukan 2022 untuk fasa satu adalah sejumlah RM37.3 juta,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, fasa kedua bagi penyediaan lokar diperluas kepada tahap dua iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi dan pelaksanaan dijangka pada 2023.
“Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku dalam laci meja masing-masing,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung bajet yang diperuntukkan untuk penyediaan lokar, jumlah bilangan murid yang terlibat dan sasaran kerajaan untuk menyediakan kemudahan tersebut.
Bagaimanapun, ketika ditanya oleh Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai tempoh kerajaan akan menyediakan kesemua lokar tersebut, Hang Soon berkata, tempoh penyediaan lokar itu memerlukan sedikit masa.
“Kita kena mengkaji kesesuaian sebab ia melibatkan bilangan yang sekolah begitu banyak, lebih 10,000 kelas dan melibatkan lebih 300,000 murid, jadi perlu mengikut secara berfasa dan mengikut kesesuaian,” katanya.
Pada masa sama, katanya, Kementerian Pendidikan juga sedang berusaha menyediakan peranti bagi memudahkan murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tanpa dibebani dengan beg berat.
“Kita tengah berusaha, kita ada juga memberikan peranti kepada sejumlah murid, namun paling penting dari segi langkah-langkah kita laksanakan selama ini termasuk penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu. Kalau buku yang cuma jadi bahan rujukan dan bahan ulangkaji di luar waktu PdP, kita akan menyediakan buku teks digital dan ini pendekatan PdP baharu.
“Kita menyeru semua pihak termasuk ibu bapa supaya membantu anak-anak dari segi menyusun buku-buku yang berkaitan untuk ke sekolah,” katanya. – UTUSAN