KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Amanah) disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jelasnya, beliau sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah dalam masa beberapa hari sebelum bersedia untuk bekerja semula dan hadir ke persidangan di Dewan Rakyat.
Dengan keputusan ujian tersebut, membuatkan Dzulkefly tidak dapat mengemukakan pertanyaan lisan kepada Menteri Kesihatan mengenai kebenaran semua hospital kendalian sektor swasta untuk mengambil doktor pasca siswazah menjalani latihan di peringkat kepakaran seperti dijadual hari ini.
“Saya sebenarnya tidak sabar untuk bertanyakan soalan dan mendapatkan jawapan langsung daripada kerajaan mengenai isu ini. Tetapi, Allah SWT tidak izinkan saya (kerana positif),” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Dzulkefly berkata, beliau masih dalam keadaan baik namun hanya mengalami gejala batuk.
“Pengurusan di Parlimen suspek saya (seperti kurang sihat), jadi mereka meminta saya menjalankan ujian Covid-19, dan saya disahkan positif dan terus pulang ke rumah,” katanya.