Pantai Cermin: Kesan tumpahan minyak lama  - Utusan Malaysia

Pantai Cermin: Kesan tumpahan minyak lama 

ROSLI Osman (kanan) dan Ahmad Ismail ketika melihat kesan sisa tumpahan minyak di persisiran pantai dekat Tanjung Tuan, Port Dickson, semalam. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka mengesahkan, kesan tumpahan minyak yang masih terdapat di sekitar Pantai Cermin di sini dan Tanjung Tuan adalah sisa  tumpahan minyak pada Oktober 2020.

Pengarahnya, Rosli Osman berkata, tinjauan  hari ini, memang terdapat sisa tumpahan minyak yang masih terkumpul di persisiran pantai Tanjung Tuan .

“Ia kesan tumpahan sisa minyak setahun yang lalu. Bagaimanapun, ia (sisa minyak) tidak akan merebak, hanya tertumpu pada satu kawasan persisiran pantai Tanjung Tuan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, walaupun sudah lebih setahun kejadian tumpahan minyak berlaku di Pantai Cermin di Port Dickson dan juga di Tanjung Tuan, kesan kejadian tersebut masih kelihatan terutama di sekitar kawasan paya bakau.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail berkata, kesan tumpahan minyak masih ada dan ia menunjukkan kejadian tumpahan  tersebut begitu memberi kesan kepada alam sekitar dan mengambil masa lama untuk pulih.

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya difahamkan pokok bakau yang ditanam di kawasan itu selepas kejadian tumpahan minyak  tidak tahan dengan pencemaran tersebut.

“Secara fizikal ia sudah dibersihkan namun kesannya pula menyebabkan pokok bakau mati dan pokok bakau yang ditanam pula tidak tahan dengan kesan minyak.

“Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan agensi lain-lain berkaitan untuk mengadakan penanaman semula pokok bakau yang sesuai kelak di kawasan ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya