Pakai topi keledar sabut kelapa pusing Malaysia - Utusan Malaysia

Pakai topi keledar sabut kelapa pusing Malaysia

SHAHID Selamat menunjukkan helmet sabut kelapa buatan sendiri ketika menyertai program Fun Ride PDRM di IPK Kelantan, Kota Bharu, baru-baru ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dari Skudai, Johor aktif mengayuh basikal ke seluruh negara sambil memakai topi keledar diperbuat daripada sabut kelapa, sejak 11 tahun lalu.

Ketika menyertai program Fun Ride Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini baru-baru ini, kemunculan Shahid Selamat, 58, yang memakai topi keledar unik tersebut mencuri tumpuan ramai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shahid berkata, topi keledar tersebut dihasilkan sendiri dan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk dibentuk mengikut saiz kepala pemakai.

“Idea tercetus kerana saya mahu membuat topi keledar tanpa keluarkan modal besar. Pada mulanya, saya ada cuba buah-buahan lain seperti tembikai namun tidak selamat kerana gagal melindungi kepala dengan baik.

“Akhirnya saya mendapati kelapa paling sesuai untuk dijadikan helmet kerana mampu melindungi kepala sebagaimana topi keledar yang dijual di kedai-kedai” katanya ketika ditemui di pekarangan IPK Kelantan, di sini.

Bercerita lanjut, Shahid yang memiliki 26 buah basikal berkata, sebelum membentuk sabut kelapa menjadi topi keledar, buah kelapa yang masih hijau perlu dijemur sehingga kering dengan kulitnya bertukar menjadi keperangan.

Selepas itu katanya, kelapa tersebut akan ditebuk dan dikeluarkan isi, manakala sabutnya pula dikekalkan kerana mampu berfungsi menyerap hentakan, sekali gus melindungi kepala dengan selamat.

“Saya sudah pakai topi keledar sabut kelapa ini sejak 11 tahun lalu dan kayuh basikal mengelilingi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Setiap kali menyertai program kayuhan, ramai berminat untuk tempah topi keledar begini, namun, saya tidak ada masa untuk membuatnya. Kalau ada lebih, saya beri secara percuma sahaja kepada orang ramai,” katanya.

Shahid yang menjadikan aktiviti kayuhan basikal sebagai hobi sejak berusia 14 tahun berkata, untuk menyertai Fun Ride Bersama PDRM di Kota Bharu, dia sanggup mengayuh basikal bersendirian selama sembilan hari dari Johor ke Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya