LIPIS: Kerajaan Pahang akan menyumbangkan RM100 kepada setiap murid Tahun Satu di negeri ini yang bakal memulakan sesi persekolahan penggal pertama pada 21 Mac ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 23,617 murid Tahun Satu menurut rekod Jabatan Pendidikan Pahang akan menerima manfaat bantuan awal persekolahan itu melibatkan peruntukan RM2.36 juta.
“Program bantuan awal persekolahan untuk murid Tahun Satu ini antara inisiatif yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk memberikan galakan dan semangat murid melangkah masuk ke sekolah tidak lama lagi.
“Bantuan ini diberikan kepada semua murid Tahun Satu di Pahang tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Ia akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya selepas majlis penyampaian Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang kepada pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan DUN Tanah Rata di Sungai Koyan dekat sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri telah memudahkan cara pemberian bantuan dengan memperoleh maklumat murid secara automatik daripada sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Saya berharap inisiatif ini dapat meringankan beban perbelanjaan serta keselesaan ibu bapa dan penjaga murid berkenaan membuat persiapan persekolahan anak mereka tahun ini
“Inisiatif ini merupakan hasrat utama saya sebagai Menteri Besar untuk melahirkan masyarakat berilmu, berkemahiran, matang serta seimbang yang menjadi agenda penting kerajaan negeri memberikan tumpuan sektor pendidikan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Wan Rosdy menjelaskan kerajaan negeri juga memperuntukkan RM13.6 juta untuk program BSR dan BSM kepada pelajar di seluruh negeri tahun ini.
“Program biasiswa ini untuk membantu pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana bagi persiapan memulakan sesi awal persekolahan tahun ini tidak lama lagi.
“Setiap pelajar akan menerima menerima RM300 setahun bagi penerima Sekolah Rendah, manakala bagi Sekolah Menengah pula akan menerima RM600 tempoh yang sama,” katanya. – UTUSAN