Onn Hafiz mula tugas rasmi - Utusan Malaysia

Onn Hafiz mula tugas rasmi

ONN Hafiz Ghazi menurunkan tandatangan memulakan tugas secara rasmi sambil diperhatikan Azmi Rohani di Pejabat Menteri Besar, Kota Iskandar di Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengangkat sumpah jawatan petang semalam memulakan tugas rasmi beliau, pagi ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap tiba di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, di sini kira-kira pukul 10 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan.

Ketibaan Onn Hafiz dimulakan dengan upacara ringkas serta bacaan doa diikuti dengan sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan negeri.

Beliau kemudian menandatangani perakuan memulakan tugas rasminya di pejabat Menteri Besar.

Semalam, Onn Hafiz mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kira-kira 3 petang.

Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, di sini.

Onn Hafiz sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor ketika Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menjadi Menteri Besar dan amat aktif dalam pergerakan generasi muda.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar dengan mencatatkan kejayaan dua pertiga apabila memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam menang di DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi.

Cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO pertama, Allahyarham Datuk Onn Jaafar menggantikan Hasni yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya