JOHOR BAHRU: Menteri Besar baharu Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi komited untuk menggalas tanggungjawab berkenaan dengan sepenuh hati dan dedikasi serta sedaya upaya demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan bangsa Johor.
Beliau turut memaklumkan akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang jauh lebih berpengalaman berbanding dirinya.
Katanya, gabungan orang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuh negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Johor atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepimpinan beliau bagi menstabilkan negeri Johor yang kita sayangi dan juga kepada saya secara peribadi selama ini.
“Pengorbanan beliau memberi ruang kepada orang muda memimpin Johor bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau, tetapi juga membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi negeri Johor,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang ini.
Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafaf sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Menghadap Istana Bukit Serene.
Turut hadir, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, beliau berjanji akan mengotakan semua Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor yang dibuat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu.
“Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini.
“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini mendapat keberkatan Allah serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan negeri ini dan setiap rakyatnya,” jelasnya.
Tambah Onn Hafiz, beliau juga percaya bahawa sesuatu perkara yang berlaku terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua.
“Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” jelasnya. – UTUSAN