PETALING JAYA: Penyanyi berbakat besar, Ernie Zakri, dan suami tercinta yang juga penyanyi, Syamel menamakan cahaya mata sulung mereka sebagai Nur Khawla Soleha.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu popular Gundah itu menerusi entri Instagram miliknya, sebentar tadi.
Dalam pada itu, dia menitipkan harapan agar bayinya itu menjadi seorang anak yang solehah dan sentiasa diberkati Allah.
“Assalamualaikum. Selamat datang ke dunia, Nur Khawla Soleha.
“Semoga menjadi anak solehah daddy dan ibu, membesar dengan penuh keberkatan dan rahmat Allah,” coretnya.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peminat dan rakan artis pasangan Ernie dan Syamel mengucapkan tahniah selain mendoakan yang baik-baik buat Khawla.
“Tahniah sekali lagi buat Ernie dan Syamel. Tidak sabar ingin bertemu bersama Khawla,” komen pelakon Catriona Ross.
“Nama yang begitu indah, Khawla,” komen juga penyanyi Sissy Iman.
“Alolo nama yang sangat indah! Subhanallah, Selamat datang, Khawla Soleha,” komen pengacara Uyaina Arshad.
Menjengah di entri Instagram Syamel, penyanyi lagu Lebih Sempurna itu juga ada berkongsi perkara yang sama.
Pasangan selebriti merpati dua sejoli itu mendirikan rumah tangga pada tanggal 26 Mac tahun lalu, di Masjid Puncak Alam, Selangor.
Ernie dan Syamel selamat menimang cahaya mata sulung pada 22 Februari lepas, sekitar pukul 10.14 pagi, – UTUSAN