Nilai semula kerjasama kerajaan, pembangkang - Utusan Malaysia

Nilai semula kerjasama kerajaan, pembangkang

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kegagalan meluluskan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat semalam, jelas menunjukkan kerjasama dan persefahaman di antara pihak kerajaan dan pembangkang ketika ini sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, adalah wajar untuk kerajaan menilai semula Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menurut beliau, mungkin juga telah tiba masanya untuk kerajaan tidak perlu lagi menunggu MoU tersebut matang pada Julai ini.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan. Kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme MoU sebegini adalah sangat berisiko.

“Apa lagi bila PH sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh dipercayai dan memang sudah jadi kebiasaan mereka untuk memungkiri janji. Sesi Parlimen petang semalam terbukti mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan. Ia secara langsung mewajarkan kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamanya dengan PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat petang semalam.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Sementara itu, Mohamad menambah, kegagalan usul berkenaan adalah sesuatu yang tidak dijangka dan ia menunjukkan sikap sambil lewa bahawa rang undang-undang sepenting itu tidak diuruskan dengan strategik sebelum dibentangkan.

“Ini agaknya, semua beranggapan bahawa sudah wujud persefahaman yang jelas antara kerajaan dan pembangkang dalam hal-hal atau usul-usul yang melibatkan reformasi undang-undang dan dasar khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 MoU antara kerajaan dan pembangkang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya