PETALING JAYA: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden PKR sekali gus bergandingan bersama Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.
Menurut Nik Nazmi, selepas kekecewaan Langkah Sheraton dan keputusan pilihan raya negeri yang mengecewakan, pemilihan PKR memberi peluang untuk parti bangkit dengan pasukan mantap menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pengumuman Rafizi untuk kembali aktif dan bertanding Timbalan Presiden, disambut positif semua ahli PKR termasuk orang ramai yang mahu parti alternatif selain Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya berhasrat membantu usaha itu, jadi menawarkan diri bertanding sebagai Naib Presiden PKR,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.
Beliau berharap pemilihan PKR kali berjalan dengan baik di samping berlangsung dalam suasana harmoni keluarga besar PKR.
Tegas beliau, bukan soal mengejar jawatan sebaliknya mahu wawasan untuk memenangi hati pengundi bagi menghadapi PRU-15. – UTUSAN