Nama Port Dickson sudah terkenal, sukar 'jual' nama baharu - Utusan Malaysia

Nama Port Dickson sudah terkenal, sukar ‘jual’ nama baharu

AMINUDDIN Harun (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2021 di Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Cadangan supaya nama Port Dickson digantikan dengan nama asalnya adalah sukar untuk dilaksanakan jika dilihat daripada pelbagai aspek khususnya ekonomi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut perlu dilihat daripada rasionalnya juga memandangkan nama Port Dickson itu sendiri sudah terkenal dengan produk pelancongannya.

“Port Dickson itu sendiri sudah terkenal sebagai lokasi pelancongan, kalau diubah sudah pastinya memberikan kesukaran untuk ‘menjual’ semula nama baharu ia akan ambil masa, untuk menjenamakannya juga bukan mudah.

“Mereka boleh mencadangkan tetapi pada dasarnya untuk menjual nama bukannya mudah. Seperti kita lahirkan sesuatu yang baharu dan terus kenalkan kepada luar, itu yang harus kita fahami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2021 di sini hari ini.

Aminuddin dalam pada itu menambah, cadangan untuk menukar nama beberapa kawasan dan tempat yang telah diberikan oleh penjajah Inggeris dengan nama asalnya yang berbahasa Melayu bukanlah satu cadangan yang baharu.

“Kita hargai pandangan itu, lagipun pandangan sebegitu bukan baharu, daripada dahulu lagi, namun apa yang lebih penting bagi saya adalah bukan mengenai untuk menukar nama tetapi adalah berkenaan penggunaan bahasa.

“Memartabatkan bahasa Melayu dan penggunaannya yang betul lebih baik daripada kita tukar-tukar nama. Pokoknya jati diri kita sebagai bangsa Melayu adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri,” katanya.

Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan pandangan Ahmad Murad yang juga Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican iaitu Port Dickson juga perlu kembali kepada nama asalnya sebelum zaman penjajahan iaitu Tanjung.

Ia selepas melihat usaha penukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka di Melaka baru-baru ini perlu diteruskan dengan tempat-tempat lain yang dinamakan oleh penjajah seperti Port Dickson, Georgetown dan Butterworth.

Kemudian, Tokoh Warisan Kebangsan Orang Hidup (Teromba Penglipur Lara), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin pula berkata, penukaran nama Port Dickson kepada nama asal hanya boleh dilakukan atas dasar kesedaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tahu tentang sejarah.

“Ini semua atas dasar kesedaran PBT yang mengetahui sejarah. Pengerusinya boleh bermuafakat dengan ahli dengan cadangan negeri dan pihak Persekutuan untuk mengubah nama tersebut.

“Pihak pembuat dasar juga boleh merujuk pada pakar sejarah dan budaya mengenai isu ini. Boleh juga merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, perkara agama rasmi agama Islam, bahasa Melayu bahasa utama yang membudayakan Melayu sebagai teras.

“Sekiranya ia berdasarkan perkara tersebut tidak ada masalah untuk mengubah nama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya