PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya telah ditawarkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Abdul Aziz sebagai saksi pembelaan ketika pendakwaan menutup kes mereka pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.
Tawaran tersebut bukan sahaja tidak diterima oleh pasukan pembelaan Ahli Parlimen Pekan itu malah mereka juga tidak merebut peluang untuk menemuramah Gabenor Bank Negara wanita pertama negara itu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram ketika berhujah pada prosiding rayuan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya di sini hari ini.
“Perayu (Najib) sering bertanya kepada saksi-saksi pendakwaan mengenai pengetahuan Tan Sri Zeti berhubung transaksi membabitkan ‘derma Arab’ yang dimasukkan ke dalam akaun perayu. Bagaimanapun, walaupun telah ditawarkan, perayu memilih untuk tidak menemuramahnya mahupun memanggil Tan Sri Zeti sebagai saksi.
“Perayu boleh memilih untuk bersemuka dengan Tan Sri Zeti mengenai tindakan yang tidak diambil oleh Bank Negara mengenai kemasukan wang yang besar jumlahnya ke dalam akaun perayu tetapi perayu tidak berbuat demikian.
“Kegagalan perayu untuk menemuramah Tan Sri Zeti atau memanggilnya sebagai saksi pembelaan ketika ditawarkan telah menyebabkan permohonan ini tidak boleh dipertahankan,” kata pendakwa raya itu.
Selain itu, ‘penglibatan’ suami bekas Gabenor Bank Negara itu, Datuk Dr. Tawfiq Ayman dan dua anak mereka, Alif Ayman dan Abdul Aziz yang dikatakan telah menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang didakwa pihak pembelaan dalang utama penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak berkaitan dengan rayuan Najib.
“Pembentukan SRC International berlaku pada 2010. Sukar difahami bagaimana perkara yang berlaku sebelum pembentukan SRC International mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi perayu yang mana pertuduhan memfokuskan kepada kemasukkan wang SRC International kepada akaun perayu.
“Keuntungan yang diterima oleh Tawfiq Ayman, Alif Ayman dan Abdul Aziz pada tahun 2008 dan 2009 sedangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap perayu membabitkan kesalahan yang dilakukan di antara 2011 dan 2015,” kata Sithambaram.
Selain itu, Sithambaram ketika berhujah menyatakan permohonan untuk memasukkan bukti baharu yang dibuat oleh Najib semata-mata berdasarkan atas laporan media.
“Ini merupakan percubaan untuk membicarakan semula kes. Sekiranya permohonan ini dibenarkan, saksi baharu akan dipanggil, kes akan dibicarakan semula. Ini keistimewaan yang akan diperolehi melalui permohonan ini,” katanya.
Pendengaran rayuan membabitkan bukti baharu itu yang didengar oleh panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersambung esok.
Turut bersidang bersama ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh. – UTUSAN