Jujur. Saya jarang sekali mengikuti perjalanan seni penyanyi berbakat besar ini. Tetapi, saya tidak pernah menidakkan bakat seorang Khai Bahar.
Dipelawa menyaksikan konsert Nafas Cinta di Petaling Jaya Performing Arts Centre beberapa minggu yang lalu, jawab hati kecil saya “kenapa tidak?”.
Malam itu, lebih tepat lagi tanggal 12 Februari 2022. Saya menyaksikan seorang bintang. Benar, penyanyi lagu Luluh itu membuktikan, dia bukan sekadar mempunyai vokal yang mantap. Tetapi juga memiliki aura bintang sebenar.
Dalam tempoh dua jam setengah, hampir ke tiga jam, Khai beraksi membawakan 17 buah lagu, tanpa henti. Semua dipersembahkan seratus peratus secara live. Hebat anak muda ini. Luar biasa.
Di awal konsert istimewa itu, Khai membuka tirai dengan mempersembahkan tiga lagu. Bayang, Durja dan Sengsara.
Ketiga-tiganya dipersembahkan penuh bertenaga. Suasana permulaan ‘dipanaskan’ dengan persembahan vokal dan nyanyian melangit.
Suara hati saya kata, biasalah. pada awal-awal begini, nyanyian yang dipersembahkan mana-mana penyanyi sekalipun tentunya mantap. Orang kata, tenaga dipermulaan itu berbisa.
Khai kemudiannya mengisi waktu seterusnya dengan mendekati penonton. Ketika berbicara di atas pentas, dia tidak sedikitpun kelihatan kekok.
Saya puji kebolehan penyanyi ini berkomunikasi dengan tetamu yang hadir menyaksikan konsert tersebut. Itu kali pertama saya melihat karakter seorang Khai Bahar di atas pentas. Ramah dan bersahaja. Kadang kala, ada ‘nakalnya’ juga.
Persembahan memukau diteruskan dengan tiga lagu Damba dan kemudian disusuli tiga lagu cover. Pada bahagian ini, saya sekali lagi teruja.
Salah sebuah lagu cover yang dibawakan adalah Wajah Kekasih, dipopularkan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin. Saya terpaut.
Ramai penyanyi yang pernah membawakan lagu ini sebelum ini. Khai Bahar antara yang menyanyikannya dengan cemerlang.
Emosi yang dipersembahkan terlalu dalam. Dengan cara tersendiri, Khai membawakannya penuh penghayatan. Saya terlupa seketika, lagu itu milik penyanyi nombor satu negara.
Kemudian, keterujaan penonton semakin diraikan dengan kehadiran penyanyi undangan, Adira Suhaimi. Jujur, ini adalah antara bahagian yang paling saya nanti-nantikan.
Dan saya tidak menyangka, gabungan suara dua penyanyi ini menjadi antara momen istimewa yang menghidupkan lagi konsert berkenaan.
Khai dan Adira bergabung suara menerusi dua lagu. Salah satunya sebuah lagu baharu, yang belum pun lagi direkodkan berjudul Pejam.
Saya terpesona dan sekali lagi terjerat dengan persembahan dua nama besar ini. Pada saya, Pejam bakal menjadi hits. Kali pertama bergabung dalam lagu, mereka membuktikan satu keserasian.
Lagu itu sedap didengar. Permainan emosi terlalu dalam. Pesan saya kepada Khai dan Adira, cepat-cepat rakamkan. Saya dan peminat anda berdua tidak sabar mendengarkannya nanti.
Malam itu diserikan juga dengan tiga lagu Khai Bahar yang dinyanyikan secara akustik. Menyesal, Penantian dan Air Mata. Setiap lagu dinyanyikan dengan cara yang berbeza.
Kejutan demi kejutan ditampilkan. Satu persatu keistimewaan diberikan. Pada konsert itu juga, Khai menayangkan video muzik terbaru untuk lagu Damba.
Penonton yang menyaksikan konsert itu cukup bertuah, kerana menjadi antara orang terawal yang berpeluang menyaksikan video muzik tersebut.
Selepas menyanyikan dua lagu, Dia dan Jodohku, Keterujaan penonton memuncak dengan kehadiran penyanyi undangan kedua, Aina Abdul.
Ini juga menjadi bahagian yang paling dinantikan. Aina, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, meluangkan masa bersatu di atas pentas bersama Khai buat sekalian kalinya.
Ternyata, kehadiran Aina bergabung suara menerusi lagu Nafas Cinta memukau penonton. Saling ‘memberi’. Khai dan Aina mencipta momen yang tersendiri pada malam itu. Bagi saya persembahan mereka, melegakan.
Pada akhir-akhir persembahan, Khai menyanyikan dua lagu hits, Luluh dan Dari Jauh Saja. Percaturannya bijak. Memandangkan ramai sebenarnya yang ingin melihat sekali lagi, Khai menyanyikan lagu yang mencipta fenomena itu.
Bagi saya, secara keseluruhan, konsert Nafas Cinta ini cukup berjaya. Walaupun hanya dihadiri 200 peminat yang menonton secara live, kemeriahannya tetap dirasakan.
Konsert ini adalah penanda aras seorang Khai Bahar setelah lima tahun berada dalam industri. Pada konsert itu, saya tidak melihat seorang Khai Bahar. Tetapi saya menyaksikan seorang bintang terpilih.
Dari permulaan sehingga akhir konsert, vokal Khai Bahar teruji. Nyanyian tinggi melangit. Koyak? Pada pendengaran saya, tidak. kemampuannya luar biasa. Dia memberi 100 peratus. Itu terbukti. Di sini, ingin saya ucapkan, Syabas dan tahniah. Teruslah berkarya. Terus menghiburkan.