PETALING JAYA: Semua pesakit Covid-19 perlu diwajib mendapatkan pengesahan daripada klinik kesihatan bagi mengelak mereka memanipulasi aplikasi MySejahtera.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, klinik kesihatan juga perlu mengklasifikasikan pesakit Covid-19 dan menentukan tahap kesihatan mereka.
Katanya, langkah tersebut penting bagi mengelakkan penipuan dan dalam masa yang sama menentukan sama ada seseorang pekerja itu layak meneruskan kerja sewaktu kuarantin di rumah atau sebaliknya.
Selain itu, katanya, kaedah tersebut membantu pihak hospital atau klinik kerajaan menilai tahap kesihatan seseorang.
“Sebagai contoh kalau dia disahkan positif Covid-19 tahap satu dan dalam masa yang sama tiada apa-apa simptom seperti demam. Maka dia mungkin boleh melakukan kerja di rumah sewaktu kuarantin bergantung kepada sektor pekerjaan masing-masing.
“Masalah timbul disebabkan kesukaran mendapatkan sijil cuti sakit bagi seseorang pekerja sama ada dia betul-betul dijangkiti Covid-19 atau cuba menipu,” katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ujian kendiri
Ketika ini, aplikasi MySejahtera membenarkan semua pengguna mengemas kini status kesihatan masing-masing sama ada positif atau negatif Covid-19 tanpa pengesahan doktor selepas melakukan ujian kendiri.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, membenarkan orang ramai mengemas kini status kesihatan masing-masing sama ada positif atau negatif Covid-19 selepas melakukan ujian kendiri tanpa pengesahan doktor, mendedahkan aplikasi MySejahtera kepada manipulasi.
Ini kerana akan wujud kemungkinan golongan tertentu terutama pekerja dan pelajar mengambil kesempatan menipu status kesihatan mereka. Ia untuk tujuan ponteng kerja, tidak hadir sekolah atau peperiksaan dan juga untuk melakukan urusan lain.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, majikan boleh meminta bantuan pusat kesihatan daerah (PKD) untuk memastikan sama ada berlaku penipuan membabitkan pekerja atau sebaliknya.
“Menipu sebenarnya boleh berlaku sebagaimana sijil cuti sakit atau sijil vaksin. Majikan perlu ada cara tersendiri untuk mengesahkan.
“Mungkin majikan boleh minta bantuan PKD namun ia akan mengambil masa serta membebankan,” ujarnya. – UTUSAN