KOTA BHARU: Menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April ini, Mydin Tunjong di sini yang kini menjadi pasar raya Mydin terbesar di Malaysia menyasarkan jualan mencecah antara RM15 juta hingga RM20 juta sebulan.
Pembukaan cawangan ke-67 itu juga memberi peluang pekerjaan kepada lebih 1,000 penduduk di Kelantan dan ruang niaga kepada 400 peniaga tempatan.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin berkata, selain memberi impak positif kepada ekonomi, Mydin Tunjong menawarkan peluang kepada rakyat Kelantan membeli barangan dengan harga borong dan kompetitif.
“Di sini kita boleh melihat keunikan Mydin Tunjong yang mengetengahkan hasil produk keluaran usahawan tempatan dengan adanya Bazar Siti Hawa yang ditempatkan di aras dua.
“Peniaga tempatan diberi ruang untuk menjual pelbagai produk tempatan seperti pakaian, makanan dan hasil kraf tangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pembukaan Mydin Tunjong, di sini hari ini.
Perasmian pasar raya itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunos.
Ameer Ali berkata, pihaknya membuat langkah berani membuka Mydin Tunjong untuk membantu keluarga Malaysia dengan menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan di sebalik kemelut ekonomi yang tidak menentu.
Katanya, beliau berharap dengan pembukaan cawangan baharu itu mampu memberi nafas lega kepada peniaga, usahawan kecil, pembekal serta penduduk Kelantan mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan. – UTUSAN