Murid tahun satu di Melaka lebih kapasiti

Murid tahun satu di Melaka lebih kapasiti

RAIS Yasin ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di SK Paya Rumput, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pembukaan sesi baharu persekolahan bagi murid tahun satu di Melaka berdepan isu kekurangan kelas selepas terdapat sekolah yang mencecah kapasiti 156 peratus melebihi jumlah ideal. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, isu tersebut dikesan apabila guru terpaksa menempatkan seramai 39 pelajar dalam sesebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, di sini. 

Katanya, jumlah yang disarankan hanya seramai 25 murid bagi memberi keselesaan pembelajaran serta penjagaan prosedur operasi standard (SOP). 

“Isu yang saya lihat pada pembukaan sesi baharu pada hari ini adalah masalah kekurangan kelas apabila purata murid dalam kelas Tahun 1 mencecah 39 orang. 

“Jumlah ini dilihat terlalu tinggi daripada sudut penjarakan dan kepadatan itu menyukarkan guru-guru untuk menjaga SOP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di SK Paya Rumput, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, seramai 16 murid berada dalam senarai menunggu disebabkan kapasiti kelas yang tinggi.

“Kementerian Pendidikan telah dimaklumkan mengenai isu ini dan saya minta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengumpul data diperlukan untuk dibentangkan pada peringkat Pusat.  Saya melihat perkara ini sebagai isu membimbangkan apatah lagi ia dihadapi ketika menggunakan sistem penggiliran, belum lagi sesi penuh atau selepas kita beralih pada fasa peralihan endemik,” tegasnya. 

Tambahnya, terdapat ibu bapa yang terpaksa mendaftarkan anak masing-masing jauh dari kawasan rumah susulan isu tersebut.    

Ujarnya, antara langkah penyelesaian yang dicadangkan ialah penambahan bangunan atau membina sekolah baharu. 

“Pada hari ini seramai 149,378 murid memulakan sesi baharu persekolahan dengan 84,619 merupakan murid sekolah rendah dan 64,759 sekolah menengah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN