PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan menggalakkan murid supaya memakai pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan baharu dibuka pada 21 Mac ini.
Namun, kelonggaran diberikan kepada murid yang tidak mempunyai pakaian yang sesuai dan mereka akan diberi kelonggaran hadir dengan pakaian sopan dan bersesuaian.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, seperti sesi persekolahan sebelumnya, ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.
“Bagaimanapun, ibu bapa dan penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod,” katanya menerusi rakaman video di Facebook, hari ini.
Katanya, bagi ujian saringan kendiri Covid-19 pula, 10 peratus daripada murid rendah akan menjalani ujian kendiri di rumah.
Radzi berkata, pihak sekolah akan bekalkan kit ujian kendiri kepada murid berkenaan dan melaksanakan ujian itu di rumah sebelum memaklumkan keputusannya kepada pihak sekolah.
Dalam pada itu, Radzi berkata, pengoperasian sekolah bagi penggal ini dilihat lebih terbuka kerana hampir keseluruhan murid akan hadir tanpa penggiliran.
Katanya, pihaknya akan terus memantau situasi semasa termasuk jangkitan penularan Covid-19 sebelum menetapkan tarikh sesuai supaya semua murid lain dapat hadir tanpa penggiliran.
“Kami harap ibu bapa, murid dan guru dapat mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan supaya sesi persekolahan ini selamat dan teratur,” katanya. – UTUSAN