Muntah-muntah dan gastrik, mujurlah saya tak pengsan - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Muntah-muntah dan gastrik, mujurlah saya tak pengsan – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Tiada kelibatnya di segmen penyingkiran pada konsert suku akhir program Big Stage 2022 yang berlangsung semalam telah mengundang persoalan warga net di media sosial sementelah terlebih dahulu persembahannya menerusi lagu Bengawan Solo memukau juri dan penonton.

Mengaku keadaan kesihatannya tidak begitu baik pada malam semalam, penyanyi dengan nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sipulijam, 21, menjelaskan dia telah mengalami muntah-muntah disebabkan penyakit gastrik sebelum itu.

“Alhamdulillah, tak ada apa yang serius dan mujurlah saya pun tak pengsan. Tetapi saya mengaku yang saya memang kurang sihat.

“Saya ada beberapa kali alami muntah. Mungkin disebabkan penyakit gastrik. Benda ini dah biasa tapi mungkin sebab malam tadi saya kurang sihat.

“Saya dimaklumkan dan dibenarkan oleh pihak berkenaan untuk pulang ke rumah terus dan tidak menghadiri segmen penyingkiran,” katanya.

Konsert suku akhir Big Stage 2022 menyaksikan Aisha yang menyampaikan lagu nyanyian asal Hetty Koes Endang itu menduduki tempat pertama.

Malah, Aisha turut memecah rekod mendapat markah tertinggi sebanyak 97 peratus daripada barisan juri tetap iaitu Ajai, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aliff Aziz.

Persembahan Aisha bukan sahaja mendapat pujian ramai malah, Ajai dan Siti Nurhaliza juga memberi standing ovation kepadanya.

Biarpun dalam keadaan tidak sihat, namun penyanyi lagu Nukilanku itu tetap berjaya memberikan persembahan yang terbaik.

“Saya nak buat persembahan terbaik setiap minggu, tak kisah sakit atau dalam keadaan macam mana pun. Tetap saya kena buat persembahan sebaik yang mungkin.

“Sebab orang tak tahu kita sakit ke atau buat pembedahankah, sebab orang nak tengok kita buat persembahan yang baik sahaja. Itulah apa yang saya tetap akan lakukan.

“Orang nak tengok kita punya magis atas pentas. Belakang punya cerita, lupakan. Saya sentiasa tanam dalam fikiran untuk buat yang terbaik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN