ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kerana didakwa masih belum mengenali rakyat negeri ini meskipun sudah dua kali memegang jawatan Menteri Besar.
Segalanya bermula apabila Mukhriz dalam sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengemukakan soalan tambahan kepada Muhammad Sanusi mengenai tindakan kerajaan negeri bagi menyelamatkan rakyat.
Menurut Mukhriz, soalan itu dikemukakannya setelah pemerhatian dilakukan termasuk di kawasannya sendiri mendapati, ramai dalam kalangan rakyat memancing ikan puyu di tali air untuk dimakan dan itu membuktikan rakyat berada dalam keadaan ‘sangat mencemaskan’.
Seakan mendapat bola tanggung, Muhammad Sanusi lalu bangkit dengan mengatakan kegiatan memancing ikan puyu atau lebih dikenali sebagai mengail di Kedah bukanlah indikator kepada kemiskinan.
“Sejak dari zaman saya kecil, dari zaman emak dan bapa saya lagi orang Kedah ini dah mengail ikan puyu untuk makan. Walaupun ‘depa’ ada lauk di rumah, boleh beli ikan dan udang di pasar, ‘depa’ mengail juga sebab hobi.
“Jitra (Mukhriz) mungkin tak pernah mengail ikan puyu sebab beranak dalam kepul emas. Bukan macam kami yang beranak dalam kebun getah, beranak dalam jelapang padi,” katanya ketika esi perbahasan usul pada Sidang DUN Kedah hari ini.
Tidak terhenti di situ, Muhammad Sanusi dalam sidang akhbar selepas berakhir perjalanan Sidang DUN bagi hari kedua, hari ini sekali lagi membangkitkan perkara tersebut tanpa ditanya oleh mana-mana wartawan.
Menurutnya, indikator kemiskinan tidak sepatutnya dilihat daripada kegiatan orang Kedah memancing ikan puyu di tali air kerana ia merupakan aktiviti popular pada waktu petang, dengan turut dilakukan mereka yang menaiki kereta besar seperti Toyota Vellfire serta Honda.
“Kalau kenal orang Kedah, itulah aktiviti petang-petang sebab ia adalah hobi dan bukan indikator kemiskinan. Kalau indikator kemiskinan, kena tengok lebih halus contohnya yuran sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tak boleh dibayar, kena tukar-tukar baju sekolah dengan adik-beradik lain dan sebagainya.
“Kalau tak kenal, susahlah nak jadi ketua rakyat negeri Kedah dan kalau dah dua kali jadi Menteri Besar tetapi masih belum kenal orang Kedah, saya susah hati jugalah. Ini bukan satu berita tetapi gambaran kepada pemimpin sama ada kenal atau tidak siapa yang dipimpinnya,” katanya. – UTUSAN