Mohd. Shafie tidak pernah iktiraf tuntutan Filipina - Utusan Malaysia

Mohd. Shafie tidak pernah iktiraf tuntutan Filipina

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tindakan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meletakkan kesalahan di atas bahu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilihat sebagai cubaan menutup kegagalan sendiri.

Kegagalan bekas Menteri Luar itu menggunakan pendekatan diplomatik bagi menggugurkan tuntutan Filipina terhadap Sabah menyebabkan beliau menuding jari menyalahkan Mohd. Shafie selaku bekas Ketua Menteri.

Ketua Wira Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Anifah seolah-olah cuba memanipulasi penggunaan perkataaan ‘perbincangan’ yang dinyatakan oleh Mohd. Shafie.

“Perbincangan bukan bermakna kita mengiktiraf (tuntutan Filipina). Adakah dengan menggesa Putrajaya mengadakan perbincangan diplomatik dengan kerajaan Filipina dan mendesak agar Filipina menggugurkan tuntutan terhadap Sabah menyebabkan Mohd. Shafie dianggap mengiktiraf tuntutan Sulu.

“Perbincangan diplomatik yang dimaksudkan adalah meminta Putrajaya dan Kedutaan Filipina duduk bersama-sama dan menyelesaikan isu tuntutan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Mohd. Shafie tidak pernah mengiktiraf tuntutan Sulu. Malah, sebelum ini, bekas Ketua Menteri itu menggesa Putrajaya agar mengambil serius isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Kenyataan Anifah menunjukkan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk menyalahkan orang lain.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, hakikatnya kerajaan negeri tiada kuasa diplomatik bagi menguruskan isu melibatkan dua negara. Urusan diplomatik berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Maka, Anifah selaku Menteri Luar yang memegang jawatan itu dari tahun 2009 hingga 2018 secara jelas telah gagal menyelesaikan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Menurut Mohd. Azis, Anifah perlu memahami bahawa perbincangan dan pengiktirafan adalah dua perkara yang membawa maksud berbeza. Istilah perbincangan itu bermaksud dua negara mengadakan pertemuan dan menyelesaikan isu berbangkit.

Anifah menerusi satu kenyataan menyalahkan Mohd. Shafie yang dikatakan kurang pengalaman dan pengetahuan sehingga mendorong Filipina menjadi lebih berani melakukan tuntutan terhadap Sabah pada dua tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya