Mohd. Daud tidak nafi bertanding di DUN Bugaya

Mohd. Daud serah kepada pucuk pimpinan Bersatu, tidak nafi bertanding di DUN Bugaya

MOHD. DAUD TAMPOKONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Semporna sudah menyerahkan beberapa senarai calon kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya yang akan diadakan pada tarikh belum dipastikan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Bersatu Semporna, Mohd. Daud Tampokong berkata, beliau menyerahkan pada kebijaksanaan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menentukan calon yang layak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Enggan mendedahkan gerangan setiap calon tersebut, beliau tidak menafikan mungkin akan bertanding semula memandangkan Mohd. Daud pernah berusaha merebut kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, namun tewas di tangan Manis Muka Mohd. Darah dari Parti Warisan.

“Saya tidak boleh beritahu siapa calon-calonnya, tetapi senarainya sudah diserahkan kepada ketua pimpinan Bersatu. Tetapi, yang pasti calon-calon ini anak tempatan dari Semporna.

“Soal saya akan bertanding atau tidak di Bugaya, ini juga bergantung kepada keputusan Datuk Hajiji. Tunggu dan lihat sahajalah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PRN Sabah 2020 menyaksikan, Mohd. Daud gagal memenangi kerusi DUN Bugaya dengan 2,552 undi ditewaskan oleh sepupunya, Manis Muka (8,557 undi) yang dilaporkan telah meninggal dunia pada 17 November 2020.

Di kerusi itu, Mohd. Daud turut bertembung lima calon lain iaitu Jihek Basanu (Parti Cinta Sabah), Ahmad Kenajaan (Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu), Taraji Jamdi (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) Abdul Jan Muammil (Bebas) dan Rasidan Abd. Latif (Bebas).

Pada 24 Januari lalu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjangkakan PRK Bugaya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi, namun, hampir dua bulan masih belum ada petanda pilihan raya akan dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ketua Wirawati Warisan Semporna Faradibah Sabardin yang juga anak kandung Manis Muka tidak menolak jika diberi peluang bertanding, justeru, PRK Bugaya bakal menyaksikan perlawanan bapa saudara-anak saudara antara Faradibah dan Mohd. Daud jika kedua-dua berjaya dicalonkan.

PRK Bugaya ditangguhkan sejak Januari tahun lalu ekoran pengisytiharan darurat oleh kerajaan, bagaimanapun, timbul dakwaan ia sengaja dilewatkan kerana Bugaya adalah kawasan pembangkang ditadbir Warisan selain konflik dalaman PN dan BN melibatkan calon.

Dalam pada itu, kata Mohd. Daud, meskipun wujud perbezaan fahaman parti politik ketika majoriti calon-calon di daerah itu ‘berkeluarga’, ia tidak sesekali merenggangkan hubungan sesama mereka.

“Keluarga tetap keluarga, tetapi dalam politik, kita wajar berbeza pendapat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya