SHAH ALAM: “Lebih baik melihat ke hadapan daripada menyalahkan satu sama lain sehingga tiada jalan penyelesaian”.
Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai dakwaan parti itu menyalahkan UMNO menjadi punca hubungan Muafakat Nasional (MN) tergendala.
Menurut beliau, semua pihak diharap terus bergerak ke arah mewujudkan muafakat ummah daripada menyalahkan sesama sendiri.
“Itu lebih baik daripada kita hanya membebankan kesalahan antara satu sama lain. Kita sepatutnya perlu terus ke hadapan untuk menyatukan ummah di negara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan program Sustain The World Virtual Camp (STWVC) 2022 dan pelancaran Rakan Alam Sekitar (RAS) 2.0 @ Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Terdahulu, dakwaan turut timbul bahawa masalah dalaman Pas menjadi punca kedinginan kerjasama MN ketika ini.
Jelas Tuan Ibrahim, hubungan antara Pas dan UMNO menerusi MN masih ada.
“Saya sehingga kini sentiasa berhubung dengan pemimpin-pemimpin UMNO. Cuma mesyuarat rasmi MN ditangguhkan dahulu setakat ini,” katanya.
Ditanya mengenai tarikh pertemuan terakhir MN, beliau hanya memaklumkan ia sudah lama diadakan sebelum ini. – UTUSAN