SHAH ALAM: Muafakat Nasional (MN) di negeri ini terus dipertahankan walaupun pandangan daripada akar umbi semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menyatakan sebaliknya.
Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, MN Selangor akan dipertahankan sehingga pucuk pimpinan memberi arahan agar kerjasama tersebut tidak diteruskan.
“Dari segi prinsipnya kerjasama MN melibatkan UMNO dan PAS di Selangor. Harus diingat kerjasama tersebut melibatkan PAS dan UMNO sebagai pembangkang di negeri di bawah Pakatan Harapan (PH),”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dalam kalangan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.
Terdahulu, dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan dilaporkan mengucapkan selamat tinggal kepada PAS susulan parti tersebut lebih memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Zahida menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas Pas dilihat lebih selesa untuk bersama dengan parti serpihan UMNO itu.
Noh berkata, atas prinsip kedua parti adalah pembangkang maka sewajarnya kerjasama tersebut dikekalkan.
Dalam pada itu, mengenai pemilihan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu dalam sesi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP semalam, Noh enggan mengulas lanjut.
“Pelantikan beliau adalah urusan dalaman parti berkenaan dan sayaaya enggan mengulas tentang hal ehwal pemilihannya dan keputusan CEC tersebut,” ujarnya –UTUSAN