SUNGAI PETANI: Punca bau busuk yang mencurigakan dari sebuah rumah di Taman Keladi di sini akhirnya terjawab apabila siasatan polis membawa kepada penemuan mayat seorang warga emas, hari ini.
Mayat lelaki berusia 65 tahun yang tinggal berseorangan ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya kira-kira pukul 4.52 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian, pihaknya bersama kakitangan Kementerian Kesihatan bergegas ke rumah tersebut.
“Maklumat awal diperoleh daripada jiran yang memaklumkan telah beberapa hari terhidu bau busuk sebelum melihat melalui tingkap nako mendapati mangsa terbaring di dalam rumah tersebut sebelum bertindak meghubungi polis.
“Mangsa yang bekerja sendiri dipercayai telah meninggal dunia lebih dari 24 jam berdasarkan keadaan mayatnya yang telah berbau dan siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah di rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Adzli lagi, temu bual pihaknya dengan waris mendapati mangsa telah tinggal di rumah itu seorang diri sejak 10 tahun lalu dan merupakan seorang pesakit kencing manis dan darah tinggi.
“Mangsa sering mendapat rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan warisnya akan menghubungi mangsa setiap minggu untuk bertanya khabar,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN