TEMERLOH: Seramai 10,000 perwakilan Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa) akan mengadakan mesyuarat agung tahunan peringkat negeri secara maya sepanjang bulan ini.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, perwakilan itu mewakili 16 negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2022 ini dimulakan oleh Koperasi Angkasa Pahang Timur bermula hari ini dan ia dijangka berakhir peringkat negeri Terengganu pada 30 Mac ini.
“Menerusi persidangan itu, seramai 30 peratus atau 3,000 perwakilan akan ke mesyuarat agung perwakilan Angkasa peringkat Pusat pada 28 Mei juga diadakan secara maya,” katanya kepada pemberita sempena MAN Angkasa peringkat negeri Pahang Zon Dua (Tengah) di Pejabat Perhubungan Negeri Zon Dua di sini hari ini.
Abdul Fattah berkata, mesyuarat agung itu akan membincangkan pencapaian Angkasa pada tahun lalu, menambahbaik agenda dan merencana perancangan yang lebih berkesan untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini dan 2023.
Tegas beliau, MAN mempunyai impak penting menerusi idea dilontarkan seperti beberapa pindaan Akta Koperasi dapat direalisasikan demi kepentingan dan pembangunan gerakan koperasi.
Beliau berkata, mesyuarat agung Angkasa peringkat negeri yang diadakan tiga tahun sekali memberi peluang kepada ahli dan pengurusan memberikan fokus terhadap usaha memajukan koperasi.
Tegasnya, ini membolehkan Lembaga Pengarah Koperasi menjayakan Pelan Strategik Angkasa 2050 (Pesan50) yang seiring dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021- 2025 dan Dasar Keusahawan Nasional 2030.
“Angkasa berusaha memperkasakan dan memberi fokus terhadap gerakan koperasi di negara ini supaya sasaran RM100 bilion perolehan dicapai pada 2030,” katanya. – UTUSAN