Mestilah rindu Johor - Ayob Khan - Utusan Malaysia

Mestilah rindu Johor – Ayob Khan

AYOB Khan Mydin Pitchay (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat menunjukkan jari mereka yang telah diwarnakan setelah melakukan proses undian awal di Dewan Dato Onn, IPK Johor di Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay selesai melakukan proses undian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebentar tadi.

Terdahulu, beliau tiba di pusat mengundi di Dewan Dato’ Onn, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada pukul 9.30 pagi.

Ayob Khan berkesempatan mengundi dalam PRN Johor ini selepas menukar alamat mengundi ketika bergelar Ketua Polis Johor, sebelum bertukar ke Bukit Aman.

Tambahnya, beliau masih mengundi di negeri ini kerana tempoh untuk menukar alamat pengundian adalah tiga bulan.

“Saya tidak sempat hendak tukar alamat mengundi sebab itu saya masih mengundi di Johor, tetapi selepas ini akan tukar ke sana (Kuala Lumpur),” katanya ketika ditemui selepas mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang di IPK Johor.

Ayob Khan berkata, berdasarkan pengamatannya proses pengundian hari ini berjalan lancar dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, beliau mengakui rindu dengan suasana bertugas di Johor kerana pengalaman di negeri ini berbeza.

“Cabaran dan bebanannya berbeza jika dibandingkan dengan Johor. Jika ditanya rindu Johor atau tidak, mestilah saya rindu. Takkan tidak rindu, dua tahun saya berkhidmat di sini,” jelasnya.

Ayob Khan berpindah ke Bukit Aman bagi menggantikan Datuk Razaruddin Husain yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 26 Disember tahun lalu.

Jawatan Ketua Polis Johor kini diisi oleh Datuk Kamarul Zaman Mamat yang merupakan Ketua Polis Kedah sebelum ini selain pernah menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya