PUTRAJAYA: Kerajaan Mesir dan Arab Saudi bersetuju supaya program latihan kepada pegawai syariah di negara ini diteruskan selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan duta negara berkenaan pada program lawatan delegasi Kedutaan Arab ke Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), hari ini.
Lawatan itu disertai wakil kedutaan 11 negara Arab yang diketuai Duta Yaman, Dr. Adel Mohammad Ali B.A Hamid.
JKSM menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, Duta Mesir dan Arab Saudi bersetuju supaya program latihan itu diteruskan.
Menurutnya, duta-duta Arab yang lain turut menyatakan persetujuan mengadakan perbincangan lanjut bagi membantu pegawai syariah di negara ini.
“Mereka turut menawarkan khidmat untuk membantu pegawai syariah kita mendalami ilmu kehakiman dan menguasai Bahasa Arab dengan kerjasama Akademi Kehakiman yang ada di negara mereka.
“Pada masa sama, Duta Somalia dan Sudan turut menyuarakan hasrat mereka supaya JKSM membantu membangunkan Sistem Kehakiman Syariah di negara mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, kunjungan itu adalah satu penghormatan kepada JKSM dan institusi kehakiman di Malaysia.
“Saya berharap agar sesi lawatan ini dapat memberikan kefahaman yang lebih mendalam terhadap fungsi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JKSM,” katanya.
Pada sesi sama, delegasi turut di bawa menyaksikan prosiding perbicaraan kes hadhanah yang dikendalikan Azzeman Omar di Dewan Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya. – UTUSAN