Menteri lulus pelaburan unit amanah RM150 juta

Menteri lulus pelaburan unit amanah RM150 juta

Bung Moktar Radin dan Zizie Izette A. Samad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan Felcra Berhad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Kementerian Kewangan bersetuju meluluskan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual selepas meneliti tiga kertas cadangan pelaburan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bekas Pengurus Besar Kumpulan Kewangan (CFO) Felcra Berhad, Mohd. Azmy Abu Samah berkata, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif organisasi tersebut mengemukakan tiga kertas cadangan masing-masing melibatkan pelaburan RM50 juta, RM100 juta dan RM150 juta untuk pertimbangan kementerian.

Menurut saksi, pada asalnya, Bung Moktar bertemu Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah di Parlimen dan menyerahkan hanya satu kertas cadangan berhubung pelaburan RM50 juta dalam unit amanah.

“Namun Menteri Kewangan II bertanya kepada Bung Moktar kenapa tidak laburkan kesemuanya yang merujuk kepada dana pencen dalam Felcra,” ujar Mohd. Azmy ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria pada sesi pemeriksaan utama.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad pada perbicaraan kes rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Saksi pendakwaan ke-26 itu memberitahu, ekoran itu, Felcra menyediakan tiga kertas cadangan berlainan untuk diserahkan kepada kementerian.

Mohd. Azmy turut menyatakan, beliau dan Bung Moktar serta Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) ketika itu, Datuk Zulkarnain Md. Eusope tidak mengadakan perbincangan berhubung pelaburan unit amanah sebelum kertas kerja dibawa kepada ahli Lembaga Pengarah Felcra.

Ujarnya, perbincangan juga tidak melibatkan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Ramlee Abu Bakar.

Menurut Mohd. Azmy, dalam pada itu, ejen pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad turut dipanggil memberi taklimat kepada wakil-wakil Felcra dan kementerian untuk mendapat gambaran situasi pasaran ketika itu.

Ujar saksi, selepas kelulusan diperoleh daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan), beliau memaklumkan perkara tersebut kepada Bung Moktar yang kemudian bertanya bila urusan pelaburan akan dimulakan.

Mohd. Azmy turut memberitahu, perkara berhubung transaksi wang pelaburan ke dalam akaun Public Mutual tidak dimaklumkan kepada ahli lembaga pengarah sebelum wang dipindahkan.

Saksi turut menyatakan, format resolusi Lembaga Pengarah Felcra pada asalnya tidak dipersetujui oleh Public Mutual menyebabkan Bung Moktar mengarahkan dokumen itu diselaraskan.

Ujar saksi, jika resolusi itu tidak diselaraskan seperti yang dikehendaki oleh Public Mutual, akaun unit amanah tidak boleh dibuka dan wang tidak dapat dipindahkan untuk memulakan pelaburan.

Menurut Mohd. Azmy, RM150 juta kemudian dimasukkan ke dalam akaun unit amanah dan perkara itu dimaklumkan oleh beliau secara bertulis kepada Bung Moktar.

Pebicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 6 April ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500.

Rasuah itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya